A Bidadari luas pasaran ke Brunei
Produk berasaskan gamat yang bakal memasuki pasaran Brunei awal tahun depan.
Pengeluar produk minuman berasaskan gamat, A Bidadari Enterprise menerusi jenama Bidadari, optimis menambah 200 pengedar, ejen dan stokis di setiap negeri menjelang akhir tahun ini.

Pengurus Pemasarannya, Hasril Helmi berkata, setakat ini, Bidadari mempunyai  lebih 100 pengedar dan stokis seluruh negara.
“Kami juga berhasrat menembusi pasaran Sabah dan Sarawak menjelang akhir tahun ini.
“Bagi pasaran luar negara pula, kami akan bermula awal tahun depan menerusi pasaran di Brunei,” katanya, yang beroperasi sejak 20 tahun lalu menjalankan perniagaan air gamat guna ramuan turun temurun.
Menurutnya, produk Bidadari boleh diperoleh di beberapa kedai ubat sekitar Chow kit, Kedai 1Malaysia dan kedai ubat tradisional terpilih seluruh negara.

Katanya, dengan pengeluaran 500 kotak bagi semua produk, A Bidadari mampu menjana pendapatan sekitar RM40,000 sehingga RM50,000 sebulan.

Hasril berkata, A Bidadari turut menyasarkan peningkatan 10 peratus kepada RM500,000 sepanjang tahun ini, berbanding RM400,000 tahun lalu.

“Kami dalam proses menghasilkan produk baru  juga berasaskan gamat khusus untuk kegunaan wanita dan lelaki.

“Bagaimanapun, roduk itu masih dalam kajian untuk uji bahan yang akan digunakan dalam produk berkenaan dan dijangka siap awal 2013,” katanya, yang memulakan perniagaan bermodalkan RM5,000 sebagai perusahaan kampung.

Menurutnya, sebagai rancangan masa depan, A Bidadari juga berhasrat menghasilkan produk minuman kesihatan berkarbonat berasaskan gamat.

Hasril berkata, kelainan produk Bidadari adalah kerana menggunakan bahan mentah gamat yang berkualiti terbaik dari Langkawi, 100 peratus bahan asli tanpa sebarang pengawet dan disediakan secara tradisional, di kilang yang terletak di Ulu Yam, Selangor.

A Bidadari mempunyai beberapa produk seperti air gamat, pati minyak gamat, tonik lidah buaya, gamat madu penawar (jus), gamat madu sauda (jus) dan gamat madu penawar resdung dijual RM50 ke bawah.